Ahad, 5 Januari 2014

KELAS PEMASARAN 2-PEMASARAN

1.1 DEFINISI PEMASARAN

Pemasaran merupakan satu proses sosial dan pengurusan di mana individu atau kumpulan memenuhi keperluan dan kehendak mereka melalui penghasilan dan penukaran produk atau nilai di kalangan mereka.

Menurut Philip Kotler, pemasaran merupakan aktiviti manusia dalam memenuhi keperluan dan kehendak mereka melalui proses pertukaran.

Pemasaran bukan hanya berkisar tentang jualan, tetapi ia juga melibatkan urusan-urusan sebelum jualan seperti kajian, pembangunan produk, kualiti produk, perletakan harga, pengagihan produk, pembungkusan, urusan selepas jualan dan sebagainya. Keputusan-keputusan ini adalah berkaitan dengan aspek-aspek pemasaran yang akan kita pelajari dalam pelajaran-pelajaran yang akan datang.


1.2 ELEMEN-ELEMEN DI DALAM PEMASARAN

Dalam pemasaran terdapat beberapa elemen-elemen ataupun konsep-konsep asas yang perlu anda pelajari dan fahami kerana ia saling berkaitan antara satu sama lain. Konsep yang paling asas sekali ialah konsep keperluan, diikuti dengan kehendak dan juga permintaan. Konsep-konsep yang selanjutnya anda boleh perolehi daripada keterangan di bawah ini.


A. Keperluan

Keperluan merupakan asas kepada kehidupan manusia dan ini meliputi keperluan fizikal seperti makanan dan pakaian, keperluan sosial seperti kasih sayang, keperluan individu seperti ilmu pengetahuan dan pencapaian hasrat diri seperti kemajuan diri dan juga kejayaan diri. Keperluan-keperluan ini bukan dicipta oleh pemasar, ia merupakan sebahagian dari asas kejadian manusia. Keperluan manusia ini penting kepada pemasar kerana ia dapat membantu pemasar dalam mengenalpasti produk yang perlu ditawarkan dan diperlukan oleh pengguna.

B. Kehendak

Kehendak pula, merupakan keperluan manusia yang dibentuk oleh budaya sekeliling serta personaliti individu. Sebagai contoh, seorang eksekutif jualan mungkin memerlukan kereta mahal seperti Honda untuk menjaga imej dan statusnya sebagai seorang pegawai, manakala seorang kerani jualan mungkin memadai dengan kereta Proton sahaja. Di sini menunjukkan bahawa personaliti individu tersebut memainkan peranan di dalam membentuk kehendak seseorang .

C. Permintaan

Apabila kita mempunyai sumber kewangan atau kuasa beli, kita akan berkehendakan kepada pelbagai jenis produk yang ditawarkan di pasaran. Oleh itu, apabila seseorang mempunyai kehendak serta kemampuan untuk membeli , kehendak akan bertukar menjadi permintaan.


D. Pertukaran

Mungkin anda telah biasa dengan perkataan ini, tetapi di sini anda akan mengetahuinya dengan lebih mendalam lagi. Pertukaran di dalam pemasaran membawa maksud pertukaran nilai antara dua belah pihak, daripada seorang pemasar kepada seorang pelanggan. Untuk membolehkan pertukaran berlaku , terdapat dua syarat iaitu:

i) Dua pihak mesti terlibat dan setiap pihak mempunyai sesuatu yang bernilai untuk ditukarkan

ii) Pihak-pihak yang terlibat bersetuju untuk berurusan antara satu sama lain dan mempunyai kebebasan untuk menerima atau menolak tawaran masing-masing.


E. Urusniaga

Urusniaga pula merupakan tindakan dalam mendapatkan sesuatu yang dikehendaki dari satu pihak dengan menawarkan sesuatu yang lain sebagai balasan. Urusniaga merupakan elemen utama di dalam pemasaran dan ianya melibatkan lima keadaan:

i) Terdapat sekurang-kurangnya dua pihak
ii) Satu pihak mesti mempunyai sesuatu yang bernilai kepada pihak yang satu lagi.
iii) Satu pihak berkemampuan untuk berkomunikasi dan membuat penghantaran.
iv) Satu pihak mempunyai hak untuk menerima atau menolak tawaran dari pihak yang satu lagi.
v) Kedua-dua pihak mempunyai keyakinan dan kepercayaan antara satu dengan lain.

Tiada ulasan: