Isnin, 25 Julai 2011

Rindu ku...

Termenung aku mengimbau masa lalu,
Mengamati rentetan kehidupan,
Mencari secangkir sinar keluhuran,
Buat bekalan di akhir penantian masa.

Menapak aku di bumi-Mu ini dengan penuh leka,
Lalai aku dalam menunaikan tanggungjawab,
Aku cuba bertahan di pasak kesabaran,
Tetapi rapuh dihempas taufan kehancuran.

Setiap detik yang mendatang menyentap benakku,
Mampukah aku meneruskan perjalanan,
Meredah belukar kebal duniawi,
Agar aku bertahan sehingga ke laluan kemanisan ukhrawi.

Ya Allah yang Maha Mendengar,
Berikanlah aku cahaya petunjuk-Mu,
Pandulah aku yang masih buta di dalam cahaya,
Masih teraba-raba di laluan yang rata.

Ampunkanlah segala dosaku Ya Rabbi,
Hanya Engkaulah yang Maha Pengampun,
Kurniakan aku kemanisan Cinta-Mu,
Agar aku diizinkan mencium haruman syurga-Mu.