Jumaat, 25 Februari 2011

"Akak.. Bagaimana Cinta Dan Kahwin Kerana Allah?"

sayang dan perkahwinan adalah isu sejagat yang tetap segar sepanjang zaman.

Persoalan cinta, kasih sayang dan perkahwinan tanpa 'dicemari' nafsu adalah konsep ideal, indah serta menjanjikan kebahagiaan sejati yang ingin sekali dinikmati serta diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kekeliruan melanda fikiran ketika kita mahu mempraktik atau merealisasikannya dalam kehidupan seharian. Akal sering tersilap menilai dan mata lahir pula sering tertipu. Garis pemisah antara niat 'kerana Allah' dan 'kerana nafsu' dalam proses membuat keputusan untuk bernikah, sama ada 'cinta sebelum nikah' atau 'cinta selepas nikah' begitu kabur kerana ia adalah 'soal hati' yang sukar dijangkau akal biasa dan mata lahir.

Rumahtangga, rumah dan bilik air

Istilah 'rumahtangga' menggambarkan rumah berserta keluarga yang menghuninya. Rumah sahaja adalah bangunan fizikal yang tidak banyak maknanya tanpa manusia yang menghuninya. Keluarga tanpa rumah tempat berlindung, walaupun rumah itu kecil atau dhaif, pasti tidak lengkap dan sempurna. Rumah adalah keperluan untuk perlindungan dari hujan dan panas, tempat istirehat fizikal, fikiran dan juga perasaan.

Dalam rumah terdapat beberapa... bilik tidur, dapur, serambi, ruang tetamu, bilik bacaan, bilik air dan beberapa bahagian tambahan yang lain. Sedar atau tidak, bilik air adalah keperluan yang sangat kritikal dalam sebuah rumah. Bilik air mungkin tidak 'popular' dan bukan pilihan utama untuk dijadikan tempat berlama-lamaan, namun kehidupan manusia menjadi resah dan tidak selesa tanpa 'mengunjunginya'. Kelegaan yang dirasa selepas qadha hajat di bilik air memberi kesan kepada semua aktiviti yang digemari dalam rumah tersebut.

Antara membina rumah dan membina bina bilik air

Saya suka mengambil sebuah rumah fizikal sebagai metafora untuk menggambarkan rumahtangga yang didirikan atas niat 'kerana Allah' atau 'kerana nafsu'. Ketika membina rumah, hasrat utama adalah untuk ada tempat berlindung dari hujan dan panas, supaya keluarga dapat hidup dengan selesa. Keseluruhan bahagian rumah tersebut umpama rumahtangga yang dibina. Tanpa bilik air pasti tidak lengkap. Namun tentu suatu yang tidak kena jika rumah dibina dengan hasrat utamanya untuk membuat bilik air semata-mata dan bahagian rumah yang lain sebagai sampingan. Metafora inilah yang cuba saya gunakan untuk membezakan niat antara kahwin 'kerana Allah' dengan 'kerana nafsu'.

Jika bilik air sebagai niat utama, ini ibarat kahwin 'kerana nafsu'. Jika demikian maka pembinaan 'rumah' itu adalah semata-mata untuk buang air. Sebaliknya, jika niat utama adalah membina sebuah rumah yang lengkap dengan semua bahagian termasuk bilik air, ini ibarat niat kahwin 'kerana Allah'. Dalam keadaan niat seperti ini, buang air adalah pelengkap kepada keseluruhan fungsi utama rumah sebagai tempat perlindungan. Niat ini lebih menyeluruh dan mengambil kira banyak faktor.

Tambahan lagi, manusia tidak membina rumah bermula dengan membina bilik air, tetapi dimulakan dengan asas atau foundation yang kukuh, lantai, dinding dan bahagian-bahagian utama. Begitu juga dengan pembinaan rumahtangga – ia mesti bermula dengan asas yang cukup kukuh supaya tidak mudah runtuh. Misi dan visi pembinaan rumahtangga seharusnya diambil kira sejak dalam proses memilih pasangan.

Misi dan Visi Perkahwinan

Ikatan perkahwinan merupakan ikatan antara dua manusia berbeza jantina, maka semestinya ia mesti berlandaskan misi dan visi penciptaan manusia itu sendiri iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah di mukabumi. Selaras dengan dua misi penciptaan manusia, maka misi dan visi perkahwinan adalah sebagai pembentukan keluarga sebagai 'team work' melaksanakan misi hamba dan khalifah dalam perjalanan menuju akhirat. Inilah asas yang paling kukuh dan niat yang paling murni 'kerana Allah'. Ini bermakna perkahwinan adalah suatu tanggungjawab.

Untuk memikul pertanggungjawan sebagai hamba dan khalifah, pastinya pelbagai halangan, rintangan dan beban yang terpaksa dipikul bersama. Oleh itu, sangat penting wujud rasa cinta dan kasih sayang sebagai pengikat antara suami, isteri, anak-anak dan seluruh keluarga. Cinta dan kasih sayang adalah anugerah dari Allah yang Ar Rahman dan Ar Rahim kepada hamba-hamba-Nya. Ikatan rasa cinta dan kasih sayang menyebabkan beban yang terpikul di bahu terasa ringan, kemarahan yang mungkin timbul antara pasangan dapat diredakan dengan kemaafan.

Ekpresi kasih sayang antara manusia terluah dalam banyak bentuk termasuklah hubungan seksual yang dihalalkan melalui akad ijab dan kabul. Persepsi 'nafsu' dalam kefahaman kebanyakan manusia dikaitkan dengan hubungan seksual serta isu-isu berkaitan dengannya. Dengan lafaz akad nikah, ekpresi kasih sayang dalam bentuk hubungan seksual dihalalkan, malah diiktiraf oleh Allah sebagai ibadah dan pahala kebajikan. Tanpa ijab kabul, hubungan seksual meyandang label jijik, kotor dan hina.

Kerana Allah – merujuk kepada peraturan-Nya

Niat 'kerana Allah' dalam percintaan dan perkahwinan direalisasikan dengan merujuk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t di setiap peringkat prosesnya. Keredhaan Allah sebagai asas ketika memilih pasangan untuk membentuk 'team work' rumahtangga, patuhi segala suruhan dan tinggalkan larangan termasuk dalam aspek pemenuhi tuntutan fitrah keperluan seksual.

Khalifah-khalifah dan hamba-hamba Allah yang lahir dari perkongsian hidup dalam perkahwinan tersebut adalah tanggungjawab pasangan tadi supaya generasi baru ini membesar menjadi manusia yang berfungsi menjadi pemakmur bumi, bukan perosak mukabumi.

Pencemaran dalam niat

Niat 'kerana nafsu' digambarkan oleh keadaan dimana perkahwinan adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan fitrah seksual. Sedar tak sedar, niat 'menghalalkan' hubungan seksual dalam ekspresi cinta dan kasih sayang secara lahiriah kelihatan begitu 'murni'. Ya, sememangnya ini tidak salah... namun jika semata-mata kerana itu, ia ibarat membina rumah bermula dengan membina bilik air sebagai asas utama. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya ada juga peraturan Allah yang diambil kira.

Rumahtangga begini tidak akan kukuh, cepat runtuh, mudah goyah dan akab berkubur begitu sahaja. Persoalan tanggungjawab dengan mudah akan diketepikan. Kebahagiaannya tidak berpanjangan. Rumahtangga akan selalu bermandikan pergaduhan dan konflik. Anak-anak yang lahir dalam suasana ini ini tidak berkembang menjadi khalifah dan hamba Allah yang berfungsi untuk memakmurkan bumi, malah mungkin menjadi generasi perosak muka bumi. Kesudahannya bukan syurga di akhirat malah kesengsaraannya bermula di dunia lagi. Na'uzubillah!.

Kerana Nafsu semata – membujur lalu melintang patah

Ekpresi cinta dan kasih sayang atas dorongan nafsu semata-mata tergambar dalam kehidupan seharian ketika peraturan Allah tidak diendahkan, batas hukum syarak diketepikan, sehingga andai berlaku pertembungan antara hukum Allah dengan keinginan nafsu, hukum Allah diketepikan dan tuntutan nafsu dipenuhi. Membujur lalu, melintang patah... inilah gambaran niat semata-mata 'kerana nafsu'. Anugerah cinta dan kasih sayang dari Ar Rahman dan Ar Rahim dikhianati dengan ekspresi dalam bentuk zina.

Sifat Maha Pengampun Allah dijadikan pertaruhan dalam permainan nafsu

"Allah fahamm... kan dia yang ciptakan kita. Lagipun Allah kan Maha Pengampun..." demikian kata-kata yang lahir dari dorongan nafsu yang bertopengkan nama Allah.

Peluang taubat di eksploitasi semahu-mahunya sehingga terlupa bahawa Allah juga ada sifat Maha Menghukum. Dalam pengaruh nafsu, syurga dan neraka seolah-olah tidak wujud.

Semoga Allah melindungi kita dari pengaruh cinta nafsu semata-mata.

Destinasi akhir ekspresi cinta

Stesen terakhir cinta kerana Allah dalam ikatan rumahtangga adalah syurga yang kekal abadi di akhirat. Sebaliknya, stesen terakhir cinta kerana nafsu adalah neraka yang penuh siksaan. Allah serahkan pilihan di tangan kita yang diberi selendang sebagai khalifah muka bumi.

Allah sediakan syurga untuk manusia tinggal dan Dia ciptakan Neraka sebagai peringatan bahawa ada risiko menanti jika manusia memilih untuk tidak tunduk kepada-Nya. Pilihan yang Allah buka juga berlaku dalam soal ekpresi cinta dan kasih sayang... Semoga Allah memimpin dan memberi taufik dan hidayah untuk kita menikmati anugerah cinta dari Dia yang Ar Rahman dan Ar Rahim.

Hanya Sekali............

Sekali, janji Ku lafazkan,
Akan Ku kotakan, walau pun dihalang,
Sekali Ku lafazkan kata cinta,
Tak kan Ku permainkan....

Sekali didalam hidup Ku..
Ku rasakan cinta yang suci sejati,
Sekali hanyalah sekali ini..,
Tiada lagi tukar ganti..

Sehari Ku rasa setahun..
Jika tiada kasih Mu...
Jika Kau pergi jauh,
Perasaaan Ku akan terganggu,
Hanyalah Kau seorang pengubat hati rindu..Ku,

Tiada bandingan didunia,
Yang sama saperti cinta yang Kau beri,
Sekali Ku katakan sekali lagi,
Cinta ku hanya sekali..

Jodoh

Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.

Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

"Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya," kata seorang abang yang sangat saya hormati.

"Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?"

"Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya," jawabnya pendek.

"Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?" gurau saya.

"Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain..."

Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.

"Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi," jelasnya dengan tenang.

"Habis mengapa putus?"

"Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta."

Wah, ini kisah cinta yang dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.

Isteri Amanah

"Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?" kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.

"Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta."

"Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?"

"Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa."

"Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?"

"Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya."

Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, "Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga."

Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.

"Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi..."

Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, "Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua."

Cantik Itu Relatif dan Subjektif

"Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er... er... kita masih manusia bukan?" saya menduga hatinya.

Dia ketawa tiba-tiba.

"Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya."

"Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?"

"Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?"

"Bukan yang cantik?" jolok saya lagi.

"Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya," balasnya dengan yakin.

"Maksud abang?"

Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.

"Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual."

Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, "Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami."

"Oh, betul juga tu!" kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, "Sedap di mata tetapi sakit di hati..."

Wasilah Memilih Jodoh

"Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?" ujar saya dengan soalan nakal.

"Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja."

"Maksudnya yang dulu lebih cantik?"

"Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?"

Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.

"Apa kaitannya dengan hati?" layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.

"Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!"

'Ah, tentu dia bahagia kini!' bisik hati saya sendiri.

"Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?"

"Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita."

Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik

"Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik."

"Tak mengapa. Kalau begitu, cuna cara pertama, jadilah orang yang baik."

"Itu susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum."

Abang tersenyum lantas berkata, "Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?"

Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.

"Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!"

Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.

"Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?"

"Kerana mereka bukan orang baik," jawabnya pendek.

"Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?"

"Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w."

"Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?"

"Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?"

Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.

Jodoh Urusan Allah

"Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat."

"Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?" tanya saya inginkan penjelasan muktamad.

"Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan 'orang baik' lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!"

Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!

"Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah."

"Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?"

"Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi."

"Hikmah untuk kita?"

"Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya pasangan kita bermasalah... bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah."

Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak "abang bayangan" saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?

Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: "Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!"