Rabu, 30 Mac 2011

Allah Tipu Kita ke????

“Akak, adik ada seorang kawan ni. Dia tak jaga aurat dia, perangai dia pun tak baik sangat. Tapi dia solat tak tinggal akak. Kenapa jadi camtu?”

Adik saya yang petah bercakap bertanya kepada saya ketika kami berbual melalui telefon.

“Mungkin ada kesilapan pada solatnya atau juga mungkin hati dia tak bersama solatnya.”

Itu sahaja jawapan saya. Saya tak tahu bagaimana mahu menjawab dengan lebih jelas, cuma itu yang mampu saya ucapkan. Tapi soalan adik saya itu terus terngiang-ngiang di telinga saya.

“Dia solat tapi masih melakukan kemungkaran. Dia solat lima waktu tapi masih tidak menjaga batasan aurat. Kenapa ye?”

Persoalan inilah yang terus bermain di benak saya. Otak saya terus teringatkan papan tanda yang saya baca tatkala melewati masjid-masjid. ‘Solat mencegah kemungkaran.’ Tapi kenapa ada orang yang solat, tapi masih melakukan perbuatan mungkar? Adakah papan tanda itu hanya omongan kosong?

Tidak! Itu bukan ayat rekaan. Saya menyelak kembali lembaran suci AL-Quran dan saya bertemu dengan ayat ini.

“Bacalah kitab (Al-Quran) yang telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan laksanakanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan (ketahuilah) mengingat ALLAH (solat) itu lebih besar (keutamaannya dari ibadah yang lain). ALLAH mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Al –Ankabut, 45]

Jelaslah bahawa kata-kata itu bukan omongan kosong tapi adalah firman ALLAH dalam kalamnya. Dengan kekerdilan diri, saya cuba lagi berfikir kenapa masih ada berlaku mungkar pada mereka yang solat. Dan saya khuatir jika saya juga termasuk dalam golongan mereka yang solat tapi masih melakukan perkara mungkar. Atau mungkin ada dalam golongan keluarga dan rakan saya yang begitu? Atau adakah ALLAH telah menipu kita dengan ayat itu? Nauzubillah! Sampai begitu syaitan menghasut saya berfikir. Semoga ALLAH ampunkan dosa saya. Saya terus menyelak, dan saya bertemu pula dengan ayat ini,

“Maka celakalah orang yang solat, (yaitu) orang-orang yang lalai terhadap solatnya.”

[Al-Maun, 4-5]

Mungkin di sini jawapan yang saya cari. Kita selalu menitikberatkan perihal solat. Tapi solat itu bukanlah pada perbuatan sahaja. Solat bukanlah satu perkara remeh yang hanya bergantung sepenuhnya pada perlakuan rukuk dan sujud. Malangnya, dalam dunia yang serba moden ini ramai yang hanya melakukan solat sekadar mahu memenuhi rukun islam yang kedua itu sahaja.

“Biarlah aku solat lewat pun. Asalkan aku solat.”

“Alamak, dah lewat ni! Solat simple-simple jela. Yang penting solat.”

Frasa ‘asalkan aku solat’ dan ‘yang penting aku solat’ inilah yang mematikan kuasa solat itu. Akhirnya solat itu tidaklah lebih dari sekadar perbuatan-perbuatan kaku yang hanya sia-sia dan memenatkan. Ia tidak lagi menjadi pencegah kemungkaran bagi pelaksananya. Bagaimanakah solat yang dilaksanakan pada saat waktu hampir berakhir mampu memberi kesan pada pelaksananya? Dan adalah tidak mungkin bagi mereka yang bersolat dengan pantas tanpa tomakninah mampu merasa kemanisan solat itu sendiri. Lalu solat itu tidaklah mampu menjadi benteng bagi diri kita menghindar dari kemungkaran. Rugilah seorang umat Muhammad yang meringankan solatnya.

Solat bukanlah hanya pergerakan-pergerakan yang mula kita pelajari sejak kecil, yang hanya kita ikut dan amalkan tanpa meletakkan hati kita di dalamnya. Ia adalah satu ibadah yang mendahului ibadah lain dan menjadi perkara pertama yang dihisab. Sabda nabi s.a.w yang juga riwayat at-Tabrani yang memperkatakan perihal solat, yang bermaksud:

“Awal-awal perkara yang dihisab atas hamba pada hari Kiamat ialah solat. Maka sekiranya solat itu elok nescaya eloklah lain-lain amalannya (diterima Allah), dan sekiranya solat itu rosak nescaya rosaklah lain-lain amalannya (ditolak oleh Allah).”

ALLAH juga telah dengan jelas menyuruh kita untuk melaksanakan solat dengan firmannya dalam Surah An-Nisa pada pengakhiran ayat 103 yang bermaksud:

“Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan (fardhu) yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.”

Tapi jika telah difardhukan, bagaimana pula dengan pelaksanaannya? Jangan risau, ALLAH bersifat maha Pengasih dan dia takkan membiarkan kita tanpa pedoman. Selain di dalam AL-Quran, telah ALLAH utuskan kekasihNYA Muhammad Bin Abdullah supaya dapat kita contohi gerakan solatnya agar ia diterima ALLAH. Agar solat itu menjadi perisai kita yang terbaik.

“Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Jadi marilah kita semak semula, adakah solat kita menepati ciri-ciri solat Rasulullah SAW. Atau ia hanyalah taklik kita pada buku ‘Mari Belajar Sembahyang’ yang kita baca berpuluh tahun lalu? Dari permulaan mengambil wudhu’ sehinggalah kepada memberi salam, semua caranya telah Rasulullah ajarkan kepada kita untuk kita contohi. Jika kita mampu berusaha mencari buku dan menghafal formula bagi mendapatkan gred ‘A’ dalam peperiksaan, mengapa kita masih berdiam diri dari mencari sumber sahih dan cara terbaik melaksanakan solat bagi memastikan kita turut mendapat gred ‘A’ di mata ALLAH?

Alhamdulillah, beberapa jam sebelum saya menulis artikel ini, saya berkesempatan menonton vcd cara solat Rasulullah. Setiap apa yang diajar bukanlah hanya tulisan kaku dan lantunan suara yang tidak disokong, tetapi setiap apa yang terdapat dalam vcd ini adalah bersandarkan hadis-hadis sahih. Dan banyak sekali kesalahan yang saya temukan dalam solat saya selama ini, semoga ALLAH bantu saya untuk memperbetulkannya. Tapi saya tidak dapat menerangkan sepenuhnya cara solat Rasulullah dalam artikel ini. InsyaALLAH saya akan cuba pada artikel yang lain.

Cuma nasihat saya, nilailah semula solat anda. Contohilah sifat solat Rasulullah. Dan tatkala mencari rujukannya, tidak kisahlah daripada buku mahupun vcd atau internet, berpeganglah hanya pada sifat yang didatangkan dengan hadis sahih. Adalah kewajipan kita untuk berpegang pada AL-Quran dan sunnah. Janganlah rasa fanatic terhadap kepercayaan sendiri dan mazhab membutakan hati kita. Dan pada mereka yang mahu berubah, mulakanlah perubahan mu dengan menyempurnakan solat. InsyaALLAH bagi mereka yang sempurna solatnya, maka akan sempurna segala amalannya.

Buanglah frasa ‘asalkan aku solat’ dan ‘yang penting aku solat’ jauh-jauh dari hidup kita. Datangkanlah rasa dari hati dan kehambaan kepada ALLAH pada setiap solat kita. Supaya kita merasakan kemanisannya. Supaya anda tidak menjadi seperti saya yang dahului pernah meragui firman ALLAH. Nauzubillah! Allah tak pernah menipu kita. Hanya kita yang membiarkan diri kita tertipu dengan bisikan syaitan.

Ingatlah, solat itu mencegah kemungkaran! Solatlah kamu dengan rasa pada hatimu, pasti kamu selamat dan merasa bahagia…

Nota : Untuk setiap maksud ayat Al-Quran yang tertulis, adalah lebih baik jika pembaca membuat rujukan semula dalam tafsir Al-Quran supaya dapat melihat ayatnya (dalam bahasa Arab) =)

Tiada ulasan: